Velson News6

Published in The Harian Metro : 26th September 2018

PACU BIOEKONOMI

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (tengah) dan diiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (dua kiri) melihat hasil produk yang menggunakan bahan bio ketika melawat gerai pameran pada Bioeconomy Day 2018 di WOW KL!

 

Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Malaysia menerima pelaburan RM7.5 bilion daripada syarikat bioteknologi yang diselia Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioekonomi Corp) setakat akhir tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Bioekonomi Corp, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, RM5 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI).

“Bioekonomi akan menjadi penyumbang kepada ekonomi dan pembangunan sosial negara. Sejak 2012, terdapat 77 projek bioekonomi yang bakal menyumbang RM23.3 bilion pendapatan kasar negara menjelang 2020.

“Ia juga bakal mewujudkan lebih daripada 26,000 pekerjaan. Malaysia adalah negara pertama di ASEAN dan kedua di Asia yang melaksanakan inisiatif bioekonomi nasional. “Namun, sasaran meningkatkan sektor ini tidak akan mampu dicapai tanpa pembabitan rakan kerjasama. Ia bukan hanya sekadar merentasi sempadan serantau semata-mata, malah perlukan kerjasama antara sektor awam dan swasta meneruskan agenda ini,” katanya selepas perasmian Hari Bioekonomi di sini, semalam.

 

Majlis dirasmikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. Shuhaizam berkata, fokus Bioekonomi Corp kini adalah mewujudkan akses pasaran kepada syarikat yang berkaitan dengan bioekonomi untuk mengkomersialkan produk masing-masing bukan hanya di pasaran tempatan, malah di luar negara.

 

Beliau berkata, perkara ini penting kerana bioekonomi bukan saja menjadi inisiatif atau trend pembangunan negara malahan juga elemen penting dalam polisi kemampanan, inovasi dan ekonomi kebanyakan negara di dunia. Katanya, melalui program pembangunan komuniti bioekonomi (BCDP) yang menghubungkan syarikat bioekonomi dengan komuniti seperti pertanian, ia membantu mewujudkan inovasi baru berasaskan bio, sekali gus menambah pendapatan kepada komuniti.

 

“Sehingga Ogos lalu, 40 projek BCDP dilaksanakan membabitkan 2,900 peserta dan jumlah ini dijangka akan ditingkatkan sehingga akhir tahun ini.

“Projek itu juga membabitkan penyertaan syarikat berstatus BioNexus. Dari 2008 hingga hujung 2017, kami membantu 283 syarikat dengan jumlah pelaburan RM3.58 bilion dan pendapatan RM1.47 bilion,” katanya.

 

Originally published at : https://www.hmetro.com.my/bisnes/2018/09/380703/pacu-bioekonomi